13 January 2009

Gula-gula Najib untuk rakyat Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 13 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji kerajaan akan membuat perubahan besar di Kuala Terengganu jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang mampu membuat perubahan untuk kesejahteraan rakyat berbanding PAS yang hanya tahu berjanji tetapi tidak mampu melakukannya.

“Insya-Allah jika bagi kita mandat ini, saya berjanji kita akan membuat perubahan yang besar di Kuala Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis sarapan pagi di rumah setiausaha peti undi Paloh Zaki Mohd Yusof di Sungai Kiat, Kubang Bakung di sini hari ini.

- Bernama

Berapa kali nak tabur janji daa?. Dulu tahun 2004 sebelum Pilihanraya Umum ke-11, Dollah Badawi telah menaburkan janji iaitu sekiranya BN berjaya memerintah Terengganu, esok rakyat Terengganu akan melihat pembangunan yang tidak dapat digambarkan sebelum ini. Sekarang janji itu telah lima tahun berlalu. Mana dia pembangunan yang dimaksudkan itu? Apa yang ada hanya Taman Tamadun Islam (TTI), Masjid Kristal, stadium baru dan menaiktaraf lapangan terbang. Universiti Terengganu hanya penukaran nama daripada nama asal iaitu KUSTEM.

Hari ini BN sekali lagi mengulangi janji manis dengan nada yang hampir sama. Tetapi kali ini rakyat Terengganu sudah tidak rela diperbodohkan lagi.

Sebenarnya segala janji-janji yang ditaburkan oleh BN terutamanya menjelang pilihanraya kecil adalah janji kosong belaka. Sebagai contoh, ketika Pilihanraya Kecil Sanggang satu masa dulu. Semasa tempoh kempen, pelbagai projek diumumkan untuk dilaksanakan di Sanggang sehingga pengundi memberikan kemenangan besar kepada BN. Setelah mencapai kemenangan, pengundi Sanggang menanti projek yang dijanjikan itu. Setalah lama menunggu apa yang pengundi Sanggang dapati, boleh dikatakan semua projek segera yang dijanjikan itu telah dibatalkan atas alasan kemelesetan ekonomi pada waktu itu.

Sememangnya semasa menaburkan janji projek tersebut, disudut hati pemimpin Umno dan BN memang telah mengetahui bahawa peruntukan untuk melaksanakannya memang tidak ada. Mereka hanya mengumumkan projek kosong sahaja.

Berbalik kepada pilihanraya kecil Kuala Terengganu, dengan memberi kemenangan kepada BN sebenarnya langsung tidak mengubah nasib rakyat Terengganu. Tambahan pula calun BN iaitu Datuk Wan Farid adalah tergolong dalam golongan elit dan tidak suka bergaul dengan rakyat kelas bawahan. Waktu ini dia mendampingi rakyat semata-mata mahukan undi. Apabila menang nanti, jangan diharap dia akan mewakili rakyat Kuala Terengganu dalam menyampaikan masalah keperingkat atasan. Setiap masa dia hanya akan berada di Kuala Lumpur sahaja dan rakyat Kuala Terengganu terus dilupakan. Dia hanya akan menjadi 'Yes Man' sahaja supaya lalauannya untuk menjadi menteri penuh tercapai. Dia tahu sekiranya terlalu banyak membawa masalah rakyat Kuala Terengganu keperingkat atasan, akibatnya dia pasti akan dicop sebagai wakil rakyat yang terlalu banyak membawa beban kepada kerajaan. Apabila telah dicop sedemikian maka peluangnya untuk menagih jawatan menteri seakan sudah tiada lagi.

Sebenarnya inilah sikap semua wakil rakyat BN yang telah menang. Mereka takut untuk menyampaikan apa-apa masalah rakyat yang diwakilinya kerana bimbang hilang peluang untuk menjawat sebarang jawatan didalam kabinet. Mereka hanya mengejar jawatan dan kepentingan diri sendiri daripada menjaga kepentingan rakyat kawasan yang diwakilinya.

No comments: