28 August 2009

Najib harap MCA selesai kemelut dalaman segera


Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap MCA dapat menyelesaikan kemelut politik dalaman parti itu dengan segera supaya ia tidak berlarutan.

"Penyelesaian pada krisis MCA ini adalah penting untuk BN dan lebih cepat diselesaikan lebih baik.

"Kepentingan BN perlu diambil kira, maknanya kita perlu kepada MCA yang kuat dan yang boleh mewakili aspirasi masyarakat Cina dan Malaysia," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang pertama di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika mengulas tekanan beberapa bahagian di Johor agar Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengambil cuti buat sementara sehingga beberapa isu berkaitan dengannya diselesaikan.

Dalam pada itu, Ong pula berkata, parti itu amat menyedari bahawa keputusan Majlis Presiden memecat Dr. Chua mencetuskan kebimbangan di kalangan anggotaanggota parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semalam bersama rakan-rakan parti saya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha bagi menjelaskan keputusan Majlis Presiden MCA.

"Pendirian Datuk Seri Najib yang membenarkan MCA menyelesaikan masalah dalamannya tanpa campur tangannya adalah dihargai.

"Saya juga berterima kasih atas nasihat Datuk Seri Najib menyelesaikan masalah parti secepat mungkin," katanya dalam komen ringkas di blognya www.ongteekeat.net.

Dipetik Bernama, beliau berkata, kepimpinan parti adalah "sekata dalam pendiriannya bagi mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang" dan fokus mereka "bukan politik yang eksesif tetapi mengutamakan khidmat kepada rakyat".

"Saya memberitahu Datuk Seri Najib dengan cara amat jelas bahawa MCA komited terhadap konsep 1Malaysia," katanya.

Sumber : mStarOnline

No comments: