KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Kira-kira 300 anggota pertubuhan bukan kerajaan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) berkumpul di hadapan Stadium Bandar Baru Bangi dekat sini malam ini bagi menyerahkan memorandum meminta PAS membantu usaha memansuhkan ternakan babi di Masjid Tanah, Melaka.
Ketika itu sedang berjalan ceramah perdana bertajuk "Mansuhkan ISA" anjuran PAS dan sedikit kekecohan berlaku apabila wakil penganjur menghalang anggota Pewaris memasuki stadium kerana mendakwa ia menjejaskan kelancaran program itu.
Bagaimanapun selepas lebih 10 minit berunding, penganjur membenarkan hanya lima anggota Pewaris memasuki stadium itu bagi menyerahkan memorandum berkenaan.
Timbalan Pengerusi Pewaris Rahimuddin Md Harun seterusnya menyerahkan memorandum itu kepada Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.
Timbalan Pengerusi Pewaris Rahimuddin Md Harun (kiri) menyerahkan memorandum kepada Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.
Pewaris dan Gabungan Gerakan Melayu Muda (GGMM) mewakili penduduk enam buah perkampungan di Melaka yang mahukan pemimpin PAS membantu mereka menyelesaikan masalah ternakan babi yang semakin berleluasa.
Kira-kira 30 anggota polis dari Ibu Polis Daerah Kajang berkawal di kawasan stadium bagi mengawal keadaan.
Sementara itu, Rahimuddin berkata penyerahan memorandum itu adalah bagi meminta pertolongan pemimpin PAS untuk menyelesaikan masalah babi di Melaka.
"Pewaris yang bertindak mewakili badan bukan Kerajaan (NGO) Islam, persatuan-persatuan seni, barisan dan organisasi budaya Melayu menentang sekeras-kerasnya ladang serta ternakan babi di Melaka khususnya di kawasan Masjid Tanah yang majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu," katanya.
Katanya pelbagai saluran telah dilakukan gerakan itu bagi menyelesaikan masalah babi, namun sehingga kini tiada tindakan diambil dan oleh kerana itulah mereka meminta bantuan PAS sebagai jalan terakhir.
"Kita tak mahu masyarakat khususnya umat Islam di sana menerima tempias akibat wabak penyakit bawaan babi yang mengancam kesihatan serta mengakibatkan pencemaran sungai sebagai satu-satunya sumber air bersih negeri ini," katanya.
Antara kawasan yang terbabit adalah Pengkalan Balak, Sungai Tuang dan Paya Mengkuang.
- BERNAMA
Apa yang pasti Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), dan Gabungan Gerakan Melayu Muda (GGMM) adalah bukan NGO yang pro PAS atau Pakatan Rakyat. Sekiranya pro PAS, sudah pasti NGO tersebut tidak perlu menyerahkan memorandum berkenaan kepada parti tersebut. Bagaimana mungkin dua NGO tersebut meminta PAS membantu usaha memansuhkan ternakan babi di Masjid Tanah, Melaka, iaitu sebuah negeri yang dikuasai oleh UMNO dan BN. Kenapa mereka tidak meminta bantuan UMNO yang menguasai negeri tersebut?. Kenapa tidak dikemukakan terus kepada Ali Rustam? Kemungkinan masalah ternakan babi ini telah dikemukakan kepada pihak UMNO tetapi tiada tindakan susulan menyebabkan mereka merasa kecewa lalu meminta bantuan PAS. Sebenarnya apa kuasa PAS untuk mendesak kerajaan Melaka dan apa yang mampu PAS lakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut yang berlaku dinegeri yang dikuasai oleh BN.
NGO tersebut sememangnya mengetahui PAS tidak mampu untuk berbuat apa-apa dalam menyelesaikan masalah tersebut, tetapi tindakan NGO ini membuktikan mereka terlalu kecewa dengan UMNO dan BN yang langsung tidak prihatin dengan masalah yang rakyat alami ini menyebabkan mereka merasakan UMNO dan BN tidak boleh lagi diharap untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama ini.
Sebenarnya inilah nadi rakyat yang tidak mampu Umno dan BN fahami atau sengaja buat-buat tidak faham. BN tidak mahu mendengar rintihan rakyat. Kesombongan dan keegoan inilah yang telah menghasilkan tsunami politik pada pilihanraya Mac 2008 yang lalu. Walau pun BN telah mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah tetapi nampaknya BN masih tidak mahu belajar daripada kesilapan lalu.
30 December 2008
Pewaris Serah Memorandum Minta Pas Bantu Mansuh Ternak Babi
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada ceramah perdana "Mansuhkan ISA" anjuran parti itu di Bandar Baru Bangi malam tadi. - foto The Star MOHD SAHAR MISNI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment